Wednesday, July 9, 2014

Contoh Jurnal Praktikum DPLI, SR j-QAF

Bilangan Jurnal 
Minggu  Praktikum
Tarikh Peristiwa / Kejadian   
Tajuk Jurnal    
:
:
:
:
Ke-1
Pertama
20- 25 Januari 2014
Minggu Pertama Praktikum di SK Bukit Beruang



Hari pertama saya praktikum merupakan hari pertama bagi saya bertugas sebagai Ketua Guru Minggu Bertugas bagi Minggu yang ke-4 iaitu bersamaan dengan hari Isnin. Bagi hari pertama berpraktikum, saya tidak merasa sebarang kejanggalan ketika menjalankan tugasan. Ini disebabkan saya telah berpengalaman bersama dengan guru-guru Sekolah Kebangsaan Bukit Beruang (SKBB) yang lainnya semenjak Januari 2013 lagi. Guru-guru dan pentadbir di SK Bukit Beruang sangat memberikan kerjasama yang baik kepada saya disepanjang tempoh saya menjadi guru dlam latihan di sana. Biarpun terdapat beberapa kekangan antaranya saya dan guru j-QAF lain duduk di bilik khas, namun aktiviti yang ada di sekolah tidak langsung membataskan kami malahan membantu mengeratkan silaturahim antara saya dengan guru-guru SKBB yang lain.

Pada minggu pertama ini, saya sebagai Ketua Guru bertugas adalah menjadi tanggungjawab saya menjalankan amanah yang telah ditinggalkan oleh Guru Besar bagi menjaga kebersihan dan keselamatan murid dan sekolah. Saya belajar melalui pengalaman guru-guru yang lalu tentang cara untuk menyampaikan pemberitahuan di perhimpunan serta cara untuk berucap selaku guru bertugas. Jadual bagi guru bertugas telah diedarkan lebih awal pada Jumaat minggu lepas agar tidak terdapat sebarang masalah berlaku ketika rakan-rakan guru yang lain ingin melunaskan tugasan. Di antara guru yang membantu saya ketika minggu ke-4 ini adalah Ustaz Azraei, Pn. Rumaizah, Pn. Norhayati Sahat, Pn. Khadijah, dan Pn. Suriane. Manakala kelas yang membantu guru bertugas adalah kelas 3 Kenanga dan juga kelas 4 Kenanga. Mereka ditugaskan membersihkan kawasan Dataran Ilmu serta Kantin sekolah serta memastikan tidak ada sebarang sampah yang terdapat di kawasan sekitar sekolah dan juga kelas-kelas.

Tugas Guru bertugas bukan sekadar memastikan kebersihan dan keselamatan murid terjaga, bahkan laporan juga turut disertakan dan perlu ditulis dengan melaporkannya ke dalam buku Laporan Guru Bertugas Mingguan. Saya turut mempelajari cara bagaimana menulis laporan dan alhamdulillah saya diberikan tunjuk ajar oleh pembantu guru bertugas pada minggu tersebut iaitu rakan-rakan guru yang lebih “senior” dari saya.

Di awal hari persekolahan iaitu pada minggu pertama persekolahan, saya telah diberikan jadual waktu oleh Ustaz Adnan Bin Sulaiman. Pun begitu jadual tersebut telah dirombak semula atas sebab-sebab tertentu dan jadual yang sebenar telah diedarkan dan dikuatkuasakan bermula pada minggu ke-4 ini. Oleh yang demikian, pada minggu pertama saya berpraktikum di SKBB ini, saya telah diamanahkan untuk mengajar murid Tahap 1 dan Tahap 2. Bagi tahap 1, saya mengajar kelas tahun 2 Kenangan dan 2 Kekwa, manakala tahun 3 pula ialah kelas 3 Kenanga dan 3 Kekwa. Bagi tahap 2 pula, saya mengajar murid dari kelas Tahun 5 Kesidang dan juga 5 Kemboja. Kesemua kelas yang saya ajari ini adalah bagi subjek Bahasa Arab. Adapun subjek Pendidikan Islam hanyalah kelas tahun 3 Kenanga sahaja.

Saya telah membuat rancangan pengajaran harian sebelum bermula kelas yang perlu saya ajar.  Untuk membuat rancangan pengajaran harian bagi Bahasa Arab, saya tidak menghadapi masalah yang banyak dalam menulis perancangan saya. Namun begitu, dalam subjek Pendidikan Islam, saya menghadapi masalah untuk menulis rancangan pengajaran tersebut.

Saya menyelesaikan masalah menulis rancangan pengajaran Pendidikan Islam ini dengan merujuk kepada guru-guru lama dan kepada guru pembimbing saya. Selain dari itu, saya juga menggunakan modul yang telah diajar oleh Pensyarah di Institut Pendidikan Guru Kampus Perempuan Melayu, Melaka iaitu pensyarah bagi subjek Pedagogi Pendidikan Islam iaitu Dr. Maimon Binti Daud yang telah banyak memberi tunjuk ajar kepada saya ketika menuntut ilmu bersamanya. Saya menjadikan kerja kursus rakan yang telah diamanahkan oleh Dr. Maimon untuk membuat Rancangan Pengajaran Harian (RPH) sebagai rujukan dan akhirnya Alhamdulillah, saya berjaya menulis rancangan pengajaran harian dengan baik. InsyaAllah.

Pada hari kelima praktikum, saya dan rakan-rakan guru yang lain yang mana masih dalam tempoh latihan bakal menghadapi peperiksaan seperti yang telah ditetapkan oleh Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM). Peperiksaan Semester Dua ini bermula dari tarikh 24 Januari 2014 sehingga 26 Januari 2014. Pun begitu, surat kebenaran dari pihak maktab telah dikeluarkan kepada pihak sekolah sebagai bukti bahawa kami akan menduduki peperiksaan pada tarikh tersebut. Semoga permulaan bagi minggu pertama ini menjadi satu semangat untuk saya meneruskan perjuangan di dalam mengakhiri minggu-minggu praktikum yang masih berbaki 11 minggu.

*Lampiran Muka Surat Sebelah.





Disemak oleh Guru Pembimbing

Tandatangan :
Nama            :
Tarikh            :

Disemak oleh Pensyarah Penyelia

Tandatangan :
Nama            :
Tarikh            :


No comments:

Post a Comment

terima kasih atas komentarnya!;)

Newer Post Older Post Home